Thursday 12 August 2021

KURSUS FAHAMI FARAID ANJURAN INSTITUT TANAH DAN UKUR NEGARA

Kursus Fahami Faraid yang dianjurkan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting bermula jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Kursus dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Penyelaras Program  iaitu Puan Noranizawaty binti Yusuf dan dibantu oleh En. Mohd Zoolhalmy bin Razali dari Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, INSTUN.

Kursus ini kemudiannya diteruskan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Baharuddin bin Aziz, Pengarah Pusaka Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dimulakan dengan sebuah hadis dari Abu Barzah Al-Aslami.

Antara perkongsian berkenaan hadis tersebut ialah :

Rasulullah SAW bersabda : " Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan tentang ilmunya, apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakan" HR Tirmizi, No. 2341.

Maksud Faraid menurut istilah Fuqaha ialah bahagian-bahagian perwarisan  yang telah ditetapkan melalui nas untuk diagihkan kepasa waris yang berhak menurut Al Nasafiyy 1408H/1997M.
Manakala menurut Ibn Abidin (1409H/1998M) pula, ilmu Faraid ialah ilmu tentang asas-asas yang merangkumi fiqh dan pengiraan untuk mengetahui hak yang berkaitan harta peninggalan si mati.

Penceramah juga menekankan berkenaan dalil-dalil yang sahih mengenai faraid yang perlu di ambil berat dan difahami oleh masyarakat sebelum proses faraid dijalankan. Waris perlu jelas dengan setiap harta atau wasiat yang ditinggalkan oleh si mati sebelum pembahagian harta dibuat. Selain itu, harta pusaka tidak boleh diwasiatkan kepada waris, kerana wasiat hanya boleh dibuat kepada yang bukan waris.  

Kursus ini selanjutnya diteruskan dengan penerangan mengenai Tertib Pembahagian Harta Pusaka.
Ia bermaksud pembahagian harta pusaka hendaklah dibahagikan mengikut tertib / keutamaan seperti berikut :

1. Pengurusan Jenazah Si Mati
2. Pengasingan Harta Si Mati
3. Pembayaran Hutang Bagi Pihak Si Mati
4. Pembahagian Harta Sepencarian
5. Wasiat

Terdapat 15 orang waris lelaki dan 10 orang waris perempuan yang layak untuk mendapat harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati.

Pelbagai ilmu serta maklumat yang bermanfaat dikongsi oleh Penceramah sepanjang 2 jam kursus tersebut dijalankan.

Seramai 100 orang peserta dari seluruh Malaysia dipilih bagi menyertai kursus ini. Peserta-peserta yang terpilih adalah dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Turut serta dalam sesi ceramah secara maya ini ialah Ahli-Ahli Puspanita Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu dan Warga Kerja Majlis Daerah Bandar Baharu serta Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu.

Sekalung ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) kerana telah menganjurkan kursus yang penuh bermanfaat dan penyampaian ilmu yang sangat jelas.


#covid19
#kitajagakita
#staysafe
#stayathome
#kedahsejahteranikmatuntuksemua
#KerajaanNegeriKedah
#institusitanahdanukurnegera
#puspanitabandarbaharu
#MesradanBerinformasi