Friday 20 August 2021

PENYERTAAN SUKARELAWAN PUSPANITA CAWANGAN KECIL DAERAH BANDAR BAHARU UNTUK PROGRAM OUTREACH VAKSINASI COVID-19 DI MUKIM-MUKIM DAERAH BANDAR BAHARU

Program Outreach Vaksin Covid-19 Daerah Bandar Baharu ini adalah anjuran bersama Pejabat Penghulu-penghulu Mukim Bagan Samak dan Sungai Kechil Ilir, Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu serta CITF Daerah Bandar Baharu.
Program outreach ini diadakan sebagai langkah proaktif CITF Daerah Bandar Baharu dalam usaha mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan kadar segera dalam tempoh terdekat di Daerah Bandar Baharu.

Bagi membantu dan menyokong usaha murni ini, seramai 10 orang Sukarelawan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu telah bersama-sama turun padang dan berganding bahu bagi membantu pihak CITF Bandar Baharu dalam menjayakan program ini yang dijalankan bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 3.30 petang.

Sukarelawan PUSPANITA ini telah bertugas membantu para penerima vaksin semasa proses saringan suhu, pendaftaran MySejahtera dan pengurusan para penerima vaksin khususnya dari kalangan warga emas.

Sumbangan kecil tetapi sangat bermakna dari Sukarelawan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu ini sedikit sebanyak membantu kelancaran proses vaksinasi yang dijalankan semasa program outreach ini berlangsung.

Terdapat 3 tempat yang dipilih untuk dijadikan lokasi Program Outreach  Vaksinasi ini iaitu :

a. 11 Ogos 2021 (Rabu)

Seramai 480 orang telah menerima vaksin Pfizer semasa program outreach yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar, Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu. 

b. 18 Ogos 2021 (Rabu)

Seramai 444 orang telah menerima vaksin AstraZeneca semasa program outreach yang diadakan di Dewan KEMAS, Pejabat KEMAS Daerah Bandar Baharu, Parit Nibong, Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu. 

c. 19 Ogos 2021 (Khamis)

Seramai 260 orang telah menerima vaksin Sinovac semasa program outreach yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ilir, Mukim Sungai Kechil Ilir, Bandar Baharu.

Ketiga-tiga program outreach ini telah melibatkan seramai 62 orang petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu dan 60 orang sukarelawan dari CITF Bandar Baharu, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kedua-dua mukim berkenaan.

Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu / Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK., yang juga Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu turut berkesempatan menghadiri program-program outreach ini dan menyantuni para petugas, sukarelawan dan penerima vaksin di lokasi-lokasi tersebut.

Turut serta dalam menjayakan program ini ialah Yang Berhormat Dato' ADUN Bandar Baharu, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB), Penghulu-Penghulu Mukim, Pegawai KEMAS Daerah Bandar Baharu, wakil Pegawai Penerangan Daerah Bandar Baharu, Pentadbir-pentadbir Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ilir.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih  kepada semua petugas, sukarelawan dan penerima atas kerjasama padu dan komitmen tinggi yang diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program-program yang telah dilaksanakan ini.

Semoga inisiatif Program Outreach Vaksinasi seumpama ini diharap dapat membantu menyegerakan sasaran pencapaian imuniti kelompok di Daerah Bandar Baharu dalam tempoh terdekat.
 
Setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua para sukarelawan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu yang terlibat atas sumbangan yang telah diberikan.

"WANITA SEPAKAT"

"NEGARA MENINGKAT"

#covid19
#staysafe
#stayhome
#MalaysiakuMerdeka
#Malaysiaprihatin
#merdekamoments
#kedahsejahteranikmatuntuksemua
#PuspanitaBB
#KitaMestiMenang