Tuesday 9 November 2021

PROGRAM SUMBANGAN WAKALAH ZAKAT TAHUN 2021 KEPADA GOLONGAN ASNAF PERINGKAT DAERAH BANDAR BAHARU OLEH PUSPANITA CAWANGAN NEGERI KEDAH

07 NOVEMBER 2021 (AHAD)

Program Sumbangan Wakalah Zakat Tahun 2021 anjuran PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Darul Aman bertujuan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat kepada golongan asnaf yang dikenalpasti di Daerah Bandar Baharu.

Yang Berbahagia Datin Paduka Hariyanti Binti Amit (Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah) dan Yang Berbahagia Datin Noor Afza Binti Osman (Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah)  telah meluangkan masa hadir ke Daerah Bandar Baharu bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan wakalah zakat ini.

Yang Berbahagia Datin Paduka Pengerusi telah menyempurnakan sumbangan zakat (tunai) kepada dua penerima iaitu Encik Morad bin Kassim di Kampung Batu 16, Serdang dan Puan Ramlah binti Ahmad di Kampung Batu Lintang, Serdang, Bandar Baharu. Encik Morad juga turut menerima bantuan khas kerusi roda sumbangan PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.

Turut serta dalam penyerahan sumbangan ini ialah Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu (Puan Amila binti Ahmad), Pengerusi PUSPANITA  Cawangan Kecil Daerah Kulim (Puan Fuziah binti Mohd Sharif), Ketua Biro Kebajikan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu (Puan Hazlina binti Baharom) serta beberapa wakil dari PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah dan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Kulim.

Program ini kemudiannya diteruskan lagi dengan Majlis Penyampaian Wakalah Zakat Tahun 2021 Peringkat Daerah Bandar Baharu bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Saudara Ali Al Imran bin Abdul Kadir, kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu.

Majlis diteruskan dengan tayangan video "Aktiviti PUSPANITA Bandar Baharu Tahun 2021" yang disediakan oleh Biro ICT PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu dan disusuli dengan Ucapan Aluan oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan penyampaian placard simbolik penyerahan sumbangan Wakalah Zakat Peringkat Daerah Bandar Baharu oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah kepada Puan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar dan Penghulu-penghulu Mukim Daerah Bandar Baharu yang diamanahkan untuk menyerahkan zakat kepada 20 orang penerima iaitu dari Mukim Bagan Samak (4 orang), Mukim Serdang (4 orang), Mukim Relau (3 orang), Mukim Sungai Kechil Ilir (3 orang), Mukim Selama (3 orang) dan Mukim Sungai Batu (3 orang).

Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu / YDP Majlis Daerah Bandar Baharu merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK., juga turut berkesempatan menyertai majlis ringkas ini dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis ringkas ini kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar barisan kepimpinan dan ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu serta para Penghulu Mukim Daerah Bandar Baharu bersama Yang Berbahagia Datin Paduka Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah dan Yang Berbahagia Datin Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.

Setelah selesai majlis ringkas di Bilik Gerakan PDTBB, kesemua tetamu kemudiannya bergerak ke Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Bandar Baharu untuk beristirehat sebelum bergerak pulang ke destinasi masing - masing.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datin Paduka Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah dan Yang Berbahagia Datin Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah atas kesudian meluangkan masa untuk hadir bagi menyampaikan sumbangan di samping menyantuni para asnaf di Daerah Bandar Baharu.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah, PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Kulim, para AJK dan warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Program Sumbangan Wakalah Zakat Tahun 2021 Kepada Golongan Asnaf oleh PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Peringkat Daerah Bandar Baharu ini.

Semoga sumbangan dan program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan asnaf di Daerah Bandar Baharu sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Darul Aman dan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu serta masyarakat Daerah Bandar Baharu.

Hebat PUSPANITA Bertemakan Ungu,
Wanita Sepakat Negara Meningkat,
Bertemu Kita Di Bandar Baharu,
Jayakan Misi Wakalah Zakat.

Gulai Baung dan Udang Galah,
Menu Istimewa Buat Tetamu,
Bersama Kita Kekalkan Ukhwah,
Moga Bersua Di Lain Waktu.


💻 Web Rasmi Puspanita Daerah Bandar Baharu : https://puspanitabb.blogspot.com/

💻 Facebook Page : https://www.facebook.com/profile.php?id=100069060825120

#patuhisop
#staysafe
#kitajagakita
#kitamestimenang
#lindungdirilindungsemua
#puspanitabb
#kedahsejahteranikmatuntuksemua