Thursday, 18 March 2021

KLINIK DE STRESS 'WANITA DAN PENGURUSAN STRESS"

Kesihatan mental wanita adalah sumber kekuatan sesebuah institusi keluarga. Ianya bukan hanya mempengaruhi wanita tersebut bahkan orang di bawah jagaan mereka. Wanita juga memikul tanggungjawab sebagai sebagai isteri, ibu, penjaga ahli keluarga lain dan pengurus rumahtangga dan sebagai warga kerja yang berperanan penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dan organisasi.

Bersempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac yang lalu, PUSPANITA Negeri Kedah telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Klinik De Stress "Wanita dan Pengurusan Stress" di Bilik Gerakan Negeri, Aras 6, Blok E Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

PUSPANITA Daerah Bandar Baharu telah mengambil bahagian menghantar 2 orang wakil iaitu Timbalan Pengerusi 1, Cik Nur Atikah binti Muktar dan Setiausaha, Puan Siti Halwani Binti Abd Halim.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi PUSPANITA Negeri Kedah, YBhg. Datin Paduka Hariyanti binti Amit. Seterusnya, sesi ceramah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Dr. Ahmad Rostam bin Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri dan  Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Program berakhir pada jam 12.00 tengahari telah diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan.

PUSPANITA Daerah Bandar Baharu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan penganjuran program pada hari ini. Semua peserta telah memperolehi pelbagai ilmu dan tips yang sangat berguna seperti yang telah dikongsikan oleh penceramah jemputan bersama para peserta. Semoga program-program keilmuan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi faedah dan keperluan para warga PUSPANITA Negeri Kedah.

Wanita Waja Negara, Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.