Monday 13 July 2020

27 Jun 2020 (Sabtu) Program Hiking Santai @Bukit Limau Permatang Kerat Telunjuk Bandar Baharu


Program Hiking Santai @Bukit Limau Permatang Kerat Telunjuk Bandar Baharu anjuran PUSPANITA Daerah Bandar Baharu dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu telah diadakan dengan jayanya pada 27 Jun 2020 yang lalu dan merupakan program pertama yang diadakan oleh PUSPANITA Bandar Baharu bagi tahun 2020 di bawah kepimpinan Tuan Penasihat PUSPANITA Bandar Baharu yang baharu iaitu Encik Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK. dan Puan Pengerusi PUSPANITA Bandar Baharu, Puan Amila binti Ahmad.

Selain melibatkan ahli-ahli PUSPANITA Daerah Bandar Baharu, program tersebut turut disertai oleh YB ADUN Bandar Baharu, Pegawai Daerah Bandar Baharu dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah) serta Pegawai Belia dan Sukan Bandar Baharu.

Pendakian bermula pada jam 8.00pg dan berakhir jam 9.30pg. Majlis diakhiri dengan jamuan sarapan pagi iaitu nasi lemak dan pulut durian sumbangan YB ADUN Bandar Baharu serta buah-buahan tempatan termasuk durian, rambutan dan manggis. Para peserta turut menerima Sijil Penyertaan program.

Puan Pengerusi PUSPANITA Bandar Baharu menzahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan kerjasama yang diterapkan dalam kalangan ahli PUSPANITA Daerah Bandar Baharu dalam menjayakan program tersebut.  Beliau juga menyatakan bahawa PUSPANITA Bandar Baharu akan sentiasa aktif dan akan membuat program-program secara berterusan.