Sunday 25 April 2021

PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK PEJABAT DAERAH DAN TANAH BANDAR BAHARU DAN MAJLIS DAERAH BANDAR BAHARU DENGAN KERJASAMA PUSPANITA BANDAR BAHARU

TARIKH : 25/04/2021 (AHAD)

Aktiviti memasak bubur lambuk sudah sinonim apabila umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan yang mulia. Justeru, PUSPANITA Daerah Bandar Baharu turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan sambutan bulan Ramadan dengan bergotong royong menyediakan bubur lambuk untuk menu juadah berbuka puasa.

Seawal pagi, persiapan rapi telah dilakukan dan diketuai oleh Encik Mustarullah bin Othman, kakitangan di Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu. Beliau merupakan seorang tukang masak yang berpengalaman luas menyediakan juadah di masjid sepanjang bulan Ramadan. Beliau turut dibantu oleh para warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu serta Majlis Daerah Bandar Baharu. Tidak ketinggalan, para AJK dan ahli-ahli Puspanita Bandar Baharu yang turut sama-sama menyumbangkan tenaga dan keringat bagi menjayakan program ini.

Program ini turut disertai oleh Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Penasihat PUSPANITA Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK., Pengerusi Puspanita Daerah Bandar Baharu, Puan Amila binti Ahmad, Timbalan Pengerusi Cik Siti Atikah binti Muktar serta seluruh AJK dan ahli-ahli Puspanita Bandar Baharu.

Turut hadir bersama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) / Setiausaha MDBB, Encik Muhamad Alif bin Ismail, Ahli-ahli Majlis Daerah Bandar Baharu, para Penghulu Mukim serta seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu serta Majlis Daerah Bandar Baharu.

Tuan Pegawai Daerah / Penasihat PUSPANITA Daerah Bandar Baharu diiringi Puan Pengerusi PUSPANITA Daerah Bandar Baharu telah meluangkan masa untuk mengagihkan sendiri bubur lambuk yang disediakan untuk diedarkan kepada jabatan-jabatan di sekitar Serdang, Bandar Baharu termasuklah Ibu Pejabat Polis Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Balai Bomba Serdang, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Belia dan Sukan, RELA, Pejabat Zakat, Pejabat Agama, AADK dan APM Bandar Baharu.

Selain itu, bubur lambuk berkenaan juga diagihkan kepada semua warga kerja PDTBB dan MDBB yang telah menyumbang masa dan tenaga dalam menjayakan program pada hari ini.

Semoga program sebegini dapat mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim dan semangat kerja berpasukan sesama para warga pelbagai jabatan yang terlibat.

#covid19
#staysafe
#kitajagakita
#kitamestimenang
#lindungdirilindungsemua
#kedahsejahteranikmatuntuksemua