RABU
7 April 2021 Bersamaan 25 Syaaban 1442H
Seramai 11 orang ahli PUSPANITA PDTBB & MDBB telah berpeluang menyertai program The Journey bersama INTURA ke Lata Gading,Ulu Legong, Baling, Kedah. Perjalanan bermula dengan menaiki bas INTURA pada jam 8.30 pagi bersama-sama dengan 25 orang peserta lelaki bagi menghadiri Kursus Pengukuhan Pasukan Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu.
Rombongan tiba di pintu gerbang Pusat Air Panas Ulu Legong dan disambut mesra oleh pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Baling. Acara dimulakan dengan sessi pemanasan badan yang diketuai oleh Encik Taufiqil Hafiz, Setiausaha Majlis Sukan Daerah Bandar Baharu PDTBB. Seterusnya bacaan doa sebelum memulakan perjalanan pula dipimpin oleh Encik Ali Al Imran dari PDTBB.
Perjalanan hari ini dibantu oleh 2 orang jurupandu yang berpengalaman daripada Majlis Daerah Baling iaitu Encik Sobri dan Encik Razak. Sebelum dimulakan perjalanan pendakian sejauh lebih kurang 5 kilometer, beberapa pesanan penting telah diberikan oleh Encik Razak kepada para peserta bagi melancarkan pergerakan pada pagi tersebut.
Turut serta dalam program ini, Tuan Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Penasihat Puspanita Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.,Ketua Fasilitator Kursus Pengukuhan Pasukan PDTBB, Encik Ramzi Akmal, Pengurus Kursus Encik Zamri dan para Fasilitator iaitu Puan Rosilah, Encik Firdaus dan Encik Arif dari INTURA.
Setelah melalui perjalanan yang mencabar dalam cuaca yang redup dan nyaman, ditambah dengan pacat yang sentiasa menanti kehadiran kami di sepanjang perjalanan tersebut, akhirnya terbalas setelah para peserta tiba dengan selamatnya di Lata Gading.
Pemandangan yang begitu memukau, ditambah dengan aliran air terjun yang sejuk dan bersih, telah menarik para peserta untuk bersantai sambil membersihkan diri dari pacat-pacat yang sentiasa menguji keberanian para peserta khususnya wanita. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk bermandi manda di Lata Gading tersebut sambil bergurau dan merakamkan gambar-gambar kenangan indah bersama rakan-rakan dan para fasilitator di lokasi tersebut.
Sesungguhnya perjalanan menyelusuri alam semulajadi yang permai ini merupakan satu kenikmatan yang tidak terhingga dan pengalaman terindah kepada setiap para peserta. Ia menguji kemampuan mental dan fizikal serta keyakinan diri masing-masing untuk menamatkan aktiviti ini dengan jayanya walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran.
Aktiviti The Journey @ Lata Gading ini telah memberikan pelbagai pengajaran yang bermanfaat untuk renungan bersama dan membuktikan bahawa semangat berpasukan dan setiakawan menjadi intipati penting dalam perancangan dan pelaksanaan sesuatu visi dan misi sesebuah pasukan atau organisasi.