Friday 30 April 2021

MAJLIS KHATAM AL QURAN ANJURAN BIRO AGAMA DAN KEROHANIAN PUSPANITA CAWANGAN NEGERI KEDAH

29 APRIL 2021 (KHAMIS)
17 Ramadan 1442H
 Anjung Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.
 
Bersempena dengan kemuliaan sambutan Nuzul Quran, PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bersama-sama dengan PUSPANITA Cawangan-Cawangan Kecil Daerah serta lain-lain jabatan.
Majlis ini telah berlangsung dengan jayanya dengan mematuhi SOP PKPP yang telah ditetapkan oleh MKN. Ianya dimulai dengan ucapan aluan perasmian oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah, YBhg. Datin Paduka Hariyanti binti Amit. 
 
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara bacaan khatam Al Quran yang diketuai oleh YBhg.Datin Mariah binti Hitam. Seterusnya, ia disusuli dengan bacaan Surah Yassin bagi memohon perlindungan serta dipermudahkan segala urusan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh ahli-ahli keluarga PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah. 
 
YBhg. Datin Paduka Hariyanti binti Amit seterusnya telah berbesar hati menyampaikan cenderamata kepada setiap wakil jabatan yang telah mengambil bahagian di dalam Program PUSPANITA Bertadarus. 
 
Turut hadir dalam majlis yang penuh bermakna ini ialah tetamu kehormat, YBhg. Datin Paduka Dato' Azuyah binti Hassan, pengurusan PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PUSPANITA Negeri Kedah, wakil-wakil PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah serta wakil-wakil Jabatan / Agensi di Negeri Kedah.
 
PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Bandar Baharu telah diwakili oleh Puan Siti Halwani binti Abd Halim (Setiausaha) dan Puan Shahirah binti Salim. 
 
Majlis ini berakhir sekitar jam 10.30 pagi. Semoga majlis yang penuh berkat dan bermanfaat ini diharap dapat menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti Ihya Ramadan khususnya melalui bacaan dan tadarus Al Quran yang pastinya menjadi sinar cahaya yang menyuluh perjalanan kita semua menuju ke destinasi abadi suatu hari nanti.